Kuasa mengawal dan memilih-Part 2
Kita tidak perlu menyuruh murid-murid kita supaya belajar rajin-rajin dan mendapatkan keputusan yang terbaik. Kalau boleh, jangan sekali-kali menyebutnya di hadapan mereka.
Kanak-kanak terutamanya remaja, mempunyai keinginan emosi yang kuat untuk bebas dan berdikari. Mereka tidak suka ditunjuk-ajar bagaimana untuk berfikir dan bagaimana untuk melakukan sesuatu perkara ; terutama sekali oleh orang dewasa.
Lagi kuat desakan untuk mereka belajar dan berjaya, lagi kuat tentangan akan timbul dari mereka.
Sebaliknya, kita beritahu bahawa mereka mempunyai PILIHAN bagaimana mereka mahu corak kehidupan mereka di masa depan. Jika mereka membuat pilihan untuk tidak rajin belajar, maka mereka hanya mempunyai SEDIKIT PILIHAN untuk buat apa yang mereka mahu lakukan di masa depan.
“Dengan gred yang rendah, kamu tidak boleh PILIH sekolah mana yang kamu hendak masuk atau bidang apa yang kamu mahu. Kamu hanya akan mengambil tempat lebihan orang lain tidak mahu sahaja.
Apabila kamu tidak mempunyai taraf pendidikan yang tinggi, maka biasanya kamu akan mendapat pekerjaan yang tidak glamer, membosankan dan mendapat gaji yang rendah. Dengan kerja yang teruk dan gaji yang rendah, kamu mungkin tidak dapat makan makanan yang sedap dan mewah. Tidak dapat membeli barang yang dihajati dan tidak dapat tinggal di kediaman mewah. Ringkasnya, jika kamu malas belajar, maka pilihan dalam hidup kamu adalah amat terhad. Akhirnya hidup kamu mungkin akan berada di bawah kawalan orang lain.
Tetapi! Jika kamu PILIH untuk belajar rajin-rajin dan mendapatkan keputusan yang cemerlang, kamu boleh PILIH sekolah mana yang kamu hendak masuk atau bidang apa yang kamu mahu. Dengan kelulusan tinggi yang kamu ada, kamu boleh PILIH kerjaya apa yang kamu mahu, dan berapa gaji yang kamu mahu. Daripada kejayaan ini, akan lahir KEBEBASAN mutlak. Kamu yang mengawal hidup kamu, dan bukannya orang lain.”
Hasilnya, apabila murid-murid diberi pilihan tersebut, mereka menjadi lebih bersemangat dan bermotivasi untuk belajar. Murid-murid merasakan PILIHAN untuk belajar atau tidak terletak di tangan mereka. Tiada sesiapa yang memaksa mereka untuk berbuat demikian. Disebabkan setiap remaja amat menghargai nilai ‘kebebasan’, mereka sanggup berbuat apa sahaja untuk mencapainya. Tujuan mereka belajar dengan rajin dan bersungguh-sungguh adalah untuk mencapai ‘kebebasan’ di kemudian hari nanti.
Salam Rindu
“Cikgu, lama tak post, pergi mana?” itulah sms yang singgah ke dalam kotak sms handphone saya. Memang agak lama saya tidak post entry terbaru kerana kesibukan mengejar dateline buku yang akan diterbitkan sempena pesta buku antarabangsa bulan April nanti.
Baiklah, entri kali ini saya ingin menceritakan kuasa rindu untuk merangsang seronok belajar. Tip ini saya ambil daripada seorang guru cemerlang daerah Temerloh. Beliau menceritakan bahawa kita mesti mewujudkan satu aktiviti yang betul-betul menyeronokkan untuk para pelajar. Biar semua merasa puas dan gembira.
Tetapi ada pantangnya! Jangan diulang banyak kali aktiviti sebegitu kerana ia akan mewujudkan perasaan jemu pula. Lakukan aktiviti sebegitu sekali sebulan sahaja.
“apa contoh aktiviti yang boleh menimbulkan perasaan rindu pelajar” Tanya saya pada cikgu tersebut. “apa-apa sahaja yang anda fikirkan sesuai untuk murid anda. Contohnya mengadakan pertandingan mengeja, dan pemenangnya akan mendapat hadiah. tidak perlu mahal, cukup sekotak pensel warna ataupun sebatang pen yang agak berharga.”
“Bagaimana aktiviti tersebut dapat merangsang seronok belajar?” soal saya lagi.
“Pelajar akan membina persepsi bahawa masa subjek tersebut dan guru yang mengajar subjek tersebut BEST & MENYERONOKKAN! Jadi mereka sentiasa ternanti-nanti dan merindui saat keriangan itu untuk berulang.”
“Bukankah begitu juga bila sang kekasih ternanti-nanti dan merindui saat menerima panggilan atau sekadar sms ringkas daripada kekasihnya?” sambung beliau lagi.
“Itulah rahsia pepatah melayu barangkali ; sayangkan isteri tinggal-tinggalkan, sayangkan anak tangan-tangankan. Terima kasih di atas perkongsian yang begitu berharga ini!” ujar saya kepadanya.
Macam mana tuan-tuan? Boleh cuba praktikkan tips ini? atau tiada idea aktiviti apa yang sesuai? jangan risau, saya ada sediakan contoh aktiviti yang boleh dilakukan di dalam kelas. sila dapatkan buku saya “Bagaimana Merangsang Seronok Belajar” yang akan berada dipasaran tidak lama lagi….
salam seronok dan bahagia selalu.
ps ; tuan Fitri, nanti saya ulas Seronok Bermain di dalam entri saya yang seterusnya.
Seronok Mengajar vs Seronok Belajar
Salam seronok dan bahagia buat semua..
1. Malam tadi saya sempat bersidang telefon dengan Tuan Fadzli moderator cikgumalaysia.
2. Di antara isi perbincangan kami ialah antara sebab TIDAK SERONOK BELAJAR ialah kerana guru TIDAK SERONOK MENGAJAR.
3. Terdapat banyak faktor yang menjadikan seorang guru itu TIDAK SERONK MENGAJAR. Antaranya ialah ;
- Asas yang diikuti di maktab tidak mendorong guru itu menjadi seorang yang SERONOK MENGAJAR.
- Tidak wujud budaya ilmu dikalangan guru untuk mencari method untuk keseronokan.
- Tidak wujud unsur-unsur ‘training’ dalam P&P, hanya untuk lepas tangan sahaja.
- Sukatan pelajaran yang terlalu rigid.
- Guru dibebankan dengan kerja-kerja perkeranian yang tidak berkesudahan.
- Program-program yang menyibukkan guru daripada memberi tumpuan kepada P&P.
Mungkin senarai ini panjang lagi, tetapi saya rasa cukuplah setakat ini. Bukan hasrat untuk MEMUSNAH, tetapi membina tapak untuk MELONJAK LEBIH TINGGI.
Salam seronok belajar.
Kenapa Seronok Belajar?

Bermacam-macam cara telah difikir dan diusahakan oleh guru-guru dan pakar-pakar pendidikan seluruh dunia bagaimana untuk menjadikan pembelajaran itu sesuatu yang menyeronokkan. Kegagalan untuk menjadikan belajar itu sesuatu perkara yang menyeronokkan merupakan satu ‘dosa’ yang akan diwarisi oleh generasi terkemudian. Sebagai contohnya seorang ayah yang mempunyai persepsi minda yang mengatakan BELAJAR TIDAK SERONOK! akan mewariskan persepsi minda tersebut kepada anaknya pula.
Pengalaman saya sebagai guru yang mengajar pelajar-pelajar yang mewarisi sifat dan sikap TIDAK SERONOK BELAJAR menjadi cabaran terbesar bagi saya. Disebabkan jiwa dan minda mereka telah tertutup, ilmu yang dicurahkan seperti air yang dicurahkan ke daun keladi sahaja. Buku “Bagaimana Merangsang Seronok Belajar” menyenaraikan beberapa strategi-strategi untuk digunakan oleh guru dan ibubapa untuk mengubah tabiat buruk pelajar-pelajar untuk menjadikan pembelajaran sesuatu yang menyeronokkan.
Perlu diingat, kita mungkin hanya ada satu peluang untuk mengubah anak-anak atau pelajar-pelajar kita. Bila belajar tidak seronok, maka ilmu pengetahuan tidak akan masuk ke dalam jiwa dan minda mereka. Dan ingatlah pesan pujangga ‘ Jika pendidikan itu mahal, cubalah kejahilan’.
Anak-anak yang tidak mendapat pendidikan yang cukup, berkemungkinan akan melakukan perbuatan yang tidak bermoral yang bakal merosakkan diri mereka dan orang lain juga. Pada ketika itu, sudah tentu kos untuk memulihkan mereka kembali lebih mahal. Mungkin juga, walau berapa pun yang kita sanggup bayar, kita tidak mampu memulihkan mereka kembali. Renung-renungkanlah..

