Kuasa mengawal dan memilih-Part 2
Kita tidak perlu menyuruh murid-murid kita supaya belajar rajin-rajin dan mendapatkan keputusan yang terbaik. Kalau boleh, jangan sekali-kali menyebutnya di hadapan mereka.
Kanak-kanak terutamanya remaja, mempunyai keinginan emosi yang kuat untuk bebas dan berdikari. Mereka tidak suka ditunjuk-ajar bagaimana untuk berfikir dan bagaimana untuk melakukan sesuatu perkara ; terutama sekali oleh orang dewasa.
Lagi kuat desakan untuk mereka belajar dan berjaya, lagi kuat tentangan akan timbul dari mereka.
Sebaliknya, kita beritahu bahawa mereka mempunyai PILIHAN bagaimana mereka mahu corak kehidupan mereka di masa depan. Jika mereka membuat pilihan untuk tidak rajin belajar, maka mereka hanya mempunyai SEDIKIT PILIHAN untuk buat apa yang mereka mahu lakukan di masa depan.
“Dengan gred yang rendah, kamu tidak boleh PILIH sekolah mana yang kamu hendak masuk atau bidang apa yang kamu mahu. Kamu hanya akan mengambil tempat lebihan orang lain tidak mahu sahaja.
Apabila kamu tidak mempunyai taraf pendidikan yang tinggi, maka biasanya kamu akan mendapat pekerjaan yang tidak glamer, membosankan dan mendapat gaji yang rendah. Dengan kerja yang teruk dan gaji yang rendah, kamu mungkin tidak dapat makan makanan yang sedap dan mewah. Tidak dapat membeli barang yang dihajati dan tidak dapat tinggal di kediaman mewah. Ringkasnya, jika kamu malas belajar, maka pilihan dalam hidup kamu adalah amat terhad. Akhirnya hidup kamu mungkin akan berada di bawah kawalan orang lain.
Tetapi! Jika kamu PILIH untuk belajar rajin-rajin dan mendapatkan keputusan yang cemerlang, kamu boleh PILIH sekolah mana yang kamu hendak masuk atau bidang apa yang kamu mahu. Dengan kelulusan tinggi yang kamu ada, kamu boleh PILIH kerjaya apa yang kamu mahu, dan berapa gaji yang kamu mahu. Daripada kejayaan ini, akan lahir KEBEBASAN mutlak. Kamu yang mengawal hidup kamu, dan bukannya orang lain.”
Hasilnya, apabila murid-murid diberi pilihan tersebut, mereka menjadi lebih bersemangat dan bermotivasi untuk belajar. Murid-murid merasakan PILIHAN untuk belajar atau tidak terletak di tangan mereka. Tiada sesiapa yang memaksa mereka untuk berbuat demikian. Disebabkan setiap remaja amat menghargai nilai ‘kebebasan’, mereka sanggup berbuat apa sahaja untuk mencapainya. Tujuan mereka belajar dengan rajin dan bersungguh-sungguh adalah untuk mencapai ‘kebebasan’ di kemudian hari nanti.
Kuasa mengawal dan memilih
Remaja yang mempunyai jati diri yang rendah biasanya beranggapan bahawa mereka tidak mempunyai kuasa atau kurang kuasa di dalam mengawal dan membuat pilihan di dalam hidup mereka. Mereka beranggapan ‘guru yang teruk’ atau ‘subjek ni susah’ ataupun ‘ibubapa aku pun tak masuk universiti’ menjadi penghalang kepada mereka untuk berjaya.
Sentiasa ingatkan anak-anak dan murid anda bahawa mereka kuasa untuk mengawal dan membuat pilihan di dalam hidup mereka. Walau macam mana pun kondisi hidup mereka, walau macam mana pun guru yang mengajar mereka, walau macam mana pun kawan-kawan yang mereka ada, pilihan terletak di tangan mereka.
Ingatkan mereka bahawa kalau nak berjaya atau gagal semuanya di tangan mereka. Piliah samada mahu berserah dengan keadaan ataupun mahu berubah untuk berjaya. Gagal untuk berubah maknanya merancang untuk gagal.

