Kuasa mengawal dan memilih-Part 2
Kita tidak perlu menyuruh murid-murid kita supaya belajar rajin-rajin dan mendapatkan keputusan yang terbaik. Kalau boleh, jangan sekali-kali menyebutnya di hadapan mereka.
Kanak-kanak terutamanya remaja, mempunyai keinginan emosi yang kuat untuk bebas dan berdikari. Mereka tidak suka ditunjuk-ajar bagaimana untuk berfikir dan bagaimana untuk melakukan sesuatu perkara ; terutama sekali oleh orang dewasa.
Lagi kuat desakan untuk mereka belajar dan berjaya, lagi kuat tentangan akan timbul dari mereka.
Sebaliknya, kita beritahu bahawa mereka mempunyai PILIHAN bagaimana mereka mahu corak kehidupan mereka di masa depan. Jika mereka membuat pilihan untuk tidak rajin belajar, maka mereka hanya mempunyai SEDIKIT PILIHAN untuk buat apa yang mereka mahu lakukan di masa depan.
“Dengan gred yang rendah, kamu tidak boleh PILIH sekolah mana yang kamu hendak masuk atau bidang apa yang kamu mahu. Kamu hanya akan mengambil tempat lebihan orang lain tidak mahu sahaja.
Apabila kamu tidak mempunyai taraf pendidikan yang tinggi, maka biasanya kamu akan mendapat pekerjaan yang tidak glamer, membosankan dan mendapat gaji yang rendah. Dengan kerja yang teruk dan gaji yang rendah, kamu mungkin tidak dapat makan makanan yang sedap dan mewah. Tidak dapat membeli barang yang dihajati dan tidak dapat tinggal di kediaman mewah. Ringkasnya, jika kamu malas belajar, maka pilihan dalam hidup kamu adalah amat terhad. Akhirnya hidup kamu mungkin akan berada di bawah kawalan orang lain.
Tetapi! Jika kamu PILIH untuk belajar rajin-rajin dan mendapatkan keputusan yang cemerlang, kamu boleh PILIH sekolah mana yang kamu hendak masuk atau bidang apa yang kamu mahu. Dengan kelulusan tinggi yang kamu ada, kamu boleh PILIH kerjaya apa yang kamu mahu, dan berapa gaji yang kamu mahu. Daripada kejayaan ini, akan lahir KEBEBASAN mutlak. Kamu yang mengawal hidup kamu, dan bukannya orang lain.”
Hasilnya, apabila murid-murid diberi pilihan tersebut, mereka menjadi lebih bersemangat dan bermotivasi untuk belajar. Murid-murid merasakan PILIHAN untuk belajar atau tidak terletak di tangan mereka. Tiada sesiapa yang memaksa mereka untuk berbuat demikian. Disebabkan setiap remaja amat menghargai nilai ‘kebebasan’, mereka sanggup berbuat apa sahaja untuk mencapainya. Tujuan mereka belajar dengan rajin dan bersungguh-sungguh adalah untuk mencapai ‘kebebasan’ di kemudian hari nanti.
Seronok Mengajar vs Seronok Belajar
Salam seronok dan bahagia buat semua..
1. Malam tadi saya sempat bersidang telefon dengan Tuan Fadzli moderator cikgumalaysia.
2. Di antara isi perbincangan kami ialah antara sebab TIDAK SERONOK BELAJAR ialah kerana guru TIDAK SERONOK MENGAJAR.
3. Terdapat banyak faktor yang menjadikan seorang guru itu TIDAK SERONK MENGAJAR. Antaranya ialah ;
- Asas yang diikuti di maktab tidak mendorong guru itu menjadi seorang yang SERONOK MENGAJAR.
- Tidak wujud budaya ilmu dikalangan guru untuk mencari method untuk keseronokan.
- Tidak wujud unsur-unsur ‘training’ dalam P&P, hanya untuk lepas tangan sahaja.
- Sukatan pelajaran yang terlalu rigid.
- Guru dibebankan dengan kerja-kerja perkeranian yang tidak berkesudahan.
- Program-program yang menyibukkan guru daripada memberi tumpuan kepada P&P.
Mungkin senarai ini panjang lagi, tetapi saya rasa cukuplah setakat ini. Bukan hasrat untuk MEMUSNAH, tetapi membina tapak untuk MELONJAK LEBIH TINGGI.
Salam seronok belajar.
Belajar Boleh Jadi Seronok Ke?

“ Menonton wayang ke, tv ke, dengar lagu ke, baca komik ke, tentulah seronok. Belajar boleh jadi seronok ke ?” itulah kata-kata yang saya selalu dengar daripada pelajar- pelajar saya. Bagi mereka, belajar itu tidak ‘happening’ , bosan dan memenatkan.
Walaubagaimanapun, kita tidak boleh meletakkan 100% kesalahan ke atas bahu mereka sahaja. Memang begitu apa yang mereka dengar dan lihat setiap hari. Berpuluh-puluh program realiti dianjurkan oleh pelbagai pihak yang menjadi jalan pintas mencapai ‘kejayaan’. Surat khabar, majalah, televisyen malah pemimpin-pemimpin-pemimpin yang jahil pula menjulang tinggi bintang-bintang segera ini sebagai idola dan contoh ikutan bagi para pelajar.
Samada mereka sedar tapi tak ambil peduli atau memang mereka tidak sedar kenyataanya apa yang sedang berlaku sekarang ini merupakan rancangan jahat Yahudi dan Barat untuk menghancurkan negara dan agama khususnya.
Kenapa Seronok Belajar?

Bermacam-macam cara telah difikir dan diusahakan oleh guru-guru dan pakar-pakar pendidikan seluruh dunia bagaimana untuk menjadikan pembelajaran itu sesuatu yang menyeronokkan. Kegagalan untuk menjadikan belajar itu sesuatu perkara yang menyeronokkan merupakan satu ‘dosa’ yang akan diwarisi oleh generasi terkemudian. Sebagai contohnya seorang ayah yang mempunyai persepsi minda yang mengatakan BELAJAR TIDAK SERONOK! akan mewariskan persepsi minda tersebut kepada anaknya pula.
Pengalaman saya sebagai guru yang mengajar pelajar-pelajar yang mewarisi sifat dan sikap TIDAK SERONOK BELAJAR menjadi cabaran terbesar bagi saya. Disebabkan jiwa dan minda mereka telah tertutup, ilmu yang dicurahkan seperti air yang dicurahkan ke daun keladi sahaja. Buku “Bagaimana Merangsang Seronok Belajar” menyenaraikan beberapa strategi-strategi untuk digunakan oleh guru dan ibubapa untuk mengubah tabiat buruk pelajar-pelajar untuk menjadikan pembelajaran sesuatu yang menyeronokkan.
Perlu diingat, kita mungkin hanya ada satu peluang untuk mengubah anak-anak atau pelajar-pelajar kita. Bila belajar tidak seronok, maka ilmu pengetahuan tidak akan masuk ke dalam jiwa dan minda mereka. Dan ingatlah pesan pujangga ‘ Jika pendidikan itu mahal, cubalah kejahilan’.
Anak-anak yang tidak mendapat pendidikan yang cukup, berkemungkinan akan melakukan perbuatan yang tidak bermoral yang bakal merosakkan diri mereka dan orang lain juga. Pada ketika itu, sudah tentu kos untuk memulihkan mereka kembali lebih mahal. Mungkin juga, walau berapa pun yang kita sanggup bayar, kita tidak mampu memulihkan mereka kembali. Renung-renungkanlah..
Salam Seronok Belajar
Assalamualaikum,
1. Salam keseronokan dan kebahagian daripada cikgu buat anak-anak dan rakan seperjuangan.
2. Blog ini berfungsi sebagai wadah untuk kita sama-sama berkongsi tips, rahsia, strategi untuk menukar anak-anak yang tidak seronok belajar, malas belajar, tak suka belajar menajadi SERONOK BELAJAR.
3. Entri-entri yang ada di dalam blog boleh dikomen, dikritik dan dicadang (betul ke nahu ni?) sebagai usaha pembaikan. Sebahagian daripadanya adalah berasal daripada buku saya sendiri yang diterbitkan oleh PTS iaitu ‘Bagaimana Merangsang Seronok Belajar’.
4. Pihak seronok belajar juga dalam usaha untuk melakukan kajian lapangan terhadap murid-murid. Mana guru atau sekolah yang ingin turut serta di dalam kajian ini, boleh hubungi saya.
5. Ingatlah wahyu pertama kepada Nabi Muhammad yang bermaksud : “Bacalah dengan nama tuhan yang telah menciptakan kamu..” Ia membawa keseronokan pembebasan manusia daripada menyembah patung yang tiada berkuasa apa-apa kepada penyembahan tuhan yang maha esa. Itulah hasrat kami di SERONOK BELAJAR.
6. InsyaAllah kita jumpa di puncak keseronokan ; Jannatul Firdaus. Salam seronok dan bahagia dari saya.
ps : Terima kasih Tuan Fauzul kerana menaja domain dan hosting untuk blog ini.
pss : InsyaAllah Tuan Fadzli, kita sama-sama berjuang untuk kemajuan pendidikan negara kita.

